Saturday, February 28, 2009

Pengenalan

Mahasiswa merupakan tunggak kepada pembangunan dan kemajuan negara. Justeru, sebagai warga intelek yang mendukung amanah menimba ilmu pengetahuan, seharusnya mahasiswa menggenggam erat kepada falsafah dan wawasan negara terutamanya dalam bidang keilmuan ini.

Dewasa ini, modal insan yang dicanangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi menjadi antara agenda utama dalam perangkaan pembangunan sumber manusia di Malaysia. Kemahiran Insaniah merupakan antara pengisian yang menjadi sandaran dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti tinggi. Hasrat yang diutarakan oleh YAB. Perdana Menteri ini harus dipandang sebagai pelengkap kepada misi mencapai wawasan 2020.

Justeru, sebagai menyokong padu hasrat mulia ini, Kolej Kelima Universiti Putra Malaysia dengan penuh komited ingin meneruskan program Pertandingan Pidato Kepemimpinan Harmoni V Interkolej 2009 ( PENITI V ). Program yang memberi penekanan kepada daya pemikiran intelek dalam bentuk penterjemahan idea melalui penyampaian pidato ini diharap dapat menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan modal insan dalam kalangan mahasiswa .

Program ini terbuka kepada semua mahasiswa Universiti Putra Malaysia. Dengan rekod penyertaan yang semakin meningkat tahun demi tahun, diharapkan PENITI V Interkolej 2009 juga terus mendapat sambutan daripada semua kolej untuk terlibat dalam usaha kita sebagai penjana mahasiswa bermodal insan kelas tinggi.